Susu Ibu

1001 INFO TENTANG PENYUSUAN SUSU IBU

Penyusuan Susu Ibu (INFO dr KKM)

Pengenalan

Bersiap sedia menanti kelahiran bayi anda merupakan satu pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Banyak perkara yang perlu dilakukan seperti memilih nama untuk bayi yang bakal dilahirkan, menyediakan barang-barang keperluannya dan memikirkan cara terbaik untuk menyusukannya. Satu perkara yang perlu anda fikirkan ialah penyusuan bayi dengan susu sendiri. Ia banyak sekali mendatangkan faedah kepada anda dan bayi.
Walaupun penyusuan susu ibu merupakan kaedah semula jadi tetapi ia bukanlah sesuatu yang datang dari naluri. Sama ada anda baru mula berfikir tentang penyusuan itu atau pernah menyusukan bayi anda sebelum ini, kami boleh membantu membimbing anda. Kami akan memandu anda, bermula dari kehamilan, ketika penyususan sehinggalah kepada menghentikan penyusuan.

Penyusuan susu ibu: Pemberian semula jadi.

Bagi sesetengah ibu dan bayi, penyusuan dengan susu ibu berjalan dengan lancar sejak dari awal lagi. Tetapi bagi yang lain, ia mungkin mengambil sedikit masa dan terpaksa mencubanya beberapa kali untuk memperolehi kejayaan. Sesuatu yang baru itu biasanya memerlukan masa dan latihan.
Jika anda memerlukan sebarang bantuan, anda bolehlah mendapatkan nasihat dari jururawat semasa berada di hospital, berjumpa pakar pediatrik, penasihat penyusuan atau kumpulan sokongan penyusuan susu ibu. Mereka boleh membantu anda.
Anda harus ingat bahawa asas paling penting kepada kejayaan sesuatu penyusuan itu ialah teknik dan kedudukan semasa penyusuan. Anda perlu banyak bersabar dan berfikiran positif kerana penyesuaian antara anda dan bayi akan mengambil masa. Ingatlah bahawa susu ibu bukan sekadar makanan, ia lebih dari itu. Susu ibu mengandungi antibodi penting untuk melawan jangkitan dan mempunyai kesan psikologi dan perubatan yang penting kepada kedua-dua ibu dan bayi. Penyusuan susu ibu adalah pemberian semula jadi anda kepada bayi.

Persediaan semasa hamil

Sesuatu yang paling penting boleh dilakukan untuk memastikan kejayaan menyusukan bayi ialah membuat persediaan awal semasa kehamilan. Walaupun penyusuan ini sesuatu yang semula jadi, tetapi ia bukanlah sesuatu yang lahir dari naluri. Dengan menghadiri kelas penyusuan bayi, anda boleh mula mempelajari tentang penyusuan dan hubungan mesra antara anda dan bayi ketika melakukan penyusuan itu. Sokongan dari ibu ke ibu yang diberikan oleh kumpulan sokongan ibu di kawasan anda atau kaunselor penyusuan ini amat berguna dan berfaedah buat anda. Dalam perjumpaan-perjumpaan ini, anda dapat berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu lain dan mempelajari lebih lanjut teknik menyusukan bayi dengan betul.

Adakah saya memerlukan persediaan sebelum menyusukan bayi?

Semasa kehamilan, anda tidak perlu menjaga puting atau payu dara anda secara khusus. Pastikan coli anda dapat menyokong payu dara dengan sempurna. Oleh kerana payu dara anda semakin membesar, anda perlu membeli coli khusus untuk penyusuan yang dapat menyediakan ruang untuk payu dara membesar. Basuh payu dara anda dengan air suam sahaja. Jangan gunakan sebarang sabun, losyen atau alkohol kerana ia mungkin mendatangkan kerengsaan dan menyebabkan gatal-gatal. Dapatkan pemeriksaan payu dara dan puting dari pakar obstetrik atau doktor semasa kehamilan.

Bagaimana persediaan tubuh badan anda semasa kehamilan?

Jika anda hamil, secara semula jadi tubuh anda mula bersiap sedia untuk proses penyusuan. Semasa 4 atau 5 bulan hamil, badan anda sudah berupaya menghasilkan susu. Susu yang pertama dikenali sebagai kolostrum yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh bayi. Ia juga mengandungi bahan yang dapat melindungi bayi daripada sebarang jangkitan.
Kolostrum adalah pekat dan berwarna kekuningan atau keperangan. Badan anda akan menghasilkan kolostrum selama beberapa hari selepas bersalin sehinggalah susu yang telah matang dikeluarkan. Susu ini lebih cair, berwarna seperti susu dan mula menyesuaikan dengan keperluan bayi sepanjang masa penyusuan. Satu dari sifat-sifat istimewa susu ibu adalah, ia berubah semasa anda menyusukan bayi untuk disesuaikan dengan keperluan bayi yang membesar.

Bagaimana susu ibu dihasilkan?

Semasa hamil, badan akan meningkatkan penghasilan hormon yang dipanggil prolaktin. Hormon ini akan merangsang sel dalam payu dara untuk menghasilkan susu. Jumlah prolaktin ini akan meningkat semasa anda menyusukan bayi. Saiz payu dara bukanlah merupakan faktor yang mempengaruhi pengeluaran susu. Bayi yang sedang menyusu itulah yang mengawal pengeluaran susu. Dengan kata lain, semakin kerap anda menyusukan bayi semakin banyak susu akan dihasilkan.
Oksitosin merupakan sejenis hormon lagi yang meningkat ketika kehamilan. Hormon ini menyebabkan sel otot kecil payu dara mengecut dan memerah susu keluar dari saluran susu ke puting. Proses ini dikenali sebagai refleks pengaliran turun yang berlaku setiap kali anda menyusukan bayi.
Soalan Kegemaran
1.    Mengapa susu badan dianggap terbaik?
2.    Siapakah yang dapat membantu saya?
3.    Adakah saiz penting?
4.    Bekalan susu yang tidak mencukupi, adakah ia kerana keturunan?
5.    Menyusu untuk sebulan sahaja, apakah ini memadai?
6.    Bolehkan anda menyusukan bayi dengan puting yang tenggelam?

Mengapa susu badan dianggap terbaik?

Susu ibu dan susu formula (susu tin) adalah berbeza. Susu ibu bukan sahaja menyediakan kesemua protein, gula, lemak dan vitamin yang diperlukan oleh bayi untuk menjadikannya sihat, tetapi faedah-faedah lain yang tidak terdapat di dalam susu formula. Ia membantu melindungi bayi dari serangan sesetengah penyakit dan jangkitan. Disebabkan bahan-bahan perlindungan yang terdapat di dalam susu ibu inilah, maka kanak-kanak yang diberi susu ibu jarang sekali diserang penyakit/masalah berikut:
  • Jangkitan dalam telinga (otitis media)
  • Alahan
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Pneumonia, bunyi ronkus, bronkiolitis
  • Meningitis
Kajian juga telah menunjukkan bahawa penyusuan dengan susu ibu dapat melindungi bayi dari serangan Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).
Faedah.faedah susu ibu yang lain, termasuklah:
  • Mudah untuk dihadamkan oleh bayi.
  • Tidak perlu disediakan.
  • Tidak memerlukan perbelanjaan dan sentiasa terdapat bekalan yang mencukupi.
  • Ia baik untuk alam sekitar kerana tidak memerlukan botol, tin dan kotak yang perlu dibuang ke dalam tong sampah.
Penyusuan susu ibu juga dapat memberikan sentuhan fizikal, menjalin kemesraan dan mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan bayinya.
Dari segi kesihatan terdapat banyak faedahnya:
  • Membakar lebih banyak kalori dan membantu mengembalikan semula berat badan anda yang dahulu dengan lebih cepat.
  • Mengurangkan risiko mendapat kanser ovari dan kanser payu dara di kalangan wanita yang belum putus haid.
  • Membina kekuatan tulang serta mencegah kepatahan tulang ketika usia lanjut.
  • Melambatkan kedatangan semula haid selepas bersalin, oleh itu dapat menjarakkan kehamilan (anda perlu ingat bahawa menyusukan bayi sahaja tidak dapat mencegah kehamilan).
  • Membantu rahim kembali kepada saiz asalnya dengan cepat.
Lebih lama anda menyusukan bayi anda dengan susu sendiri, lebih banyak kebaikan yang akan diperolehi oleh anda dan bayi, dan lebih lama pula kebaikan itu dapat bertahan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakar-pakar kesihatan menyarankan ibu-ibu supaya menyusukan bayi mereka seberapa lama yang boleh, satu tahun atau lebih lama, kerana susu ibu merupakan pemakanan yang terbaik di samping dapat melindungi bayi dari serangan penyakit atau jangkitan.

Siapakah yang dapat membantu saya?

Selepas membuat keputusan untuk menyusukan bayi anda dengan susu sendiri, adalah baik jika anda memperolehi sokongan sosial dari keluarga dan rakan-rakan. Walaupun si bapa tidak dapat merasakan kemesraan yang wujud ketika penyusuan, mereka juga berpeluang berkongsi saat-saat indah dan istimewa yang lain bersama bayi mereka. Adik beradiknya yang lebih tua boleh membantu dengan memegang bayi, menukarkan lampin dan bermain -main dengannya.
Sebelum bersalin, pelajari seberapa banyak yang boleh mengenai penyusuan susu ibu. Membaca, menonton televisyen atau video mengenai penyusuan dan berbincang sesama rakan lain yang pernah menyusukan bayi boleh membantu anda dalam perkara ini. Anda boleh menghadiri kelas mengenai penyusuan susu ibu. Kebanyakan hospital, klinik kesihatan dan pertubuhan-pertubuhan sukarela kesihatan mengadakan khidmat ini. Sumber-sumber seperti yang tercatat di bawah ini boleh juga membantu anda:
  • Pakar Obstetrik dan Pediatrik.
  • Jururawat/Bidan.
  • Kaunselor Penyusuan di hospital yang berhampiran.
  • Anggota kesihatan di klinik yang berdekatan boleh membantu anda sekeluarga mengenai teknik-teknik penyusuan susu ibu dengan betul.
Sebelum bayi anda dilahirkan, anda perlu memberitahu doktor bahawa anda telah membuat keputusan untuk menyusukan bayi anda dengan susu sendiri. Cara yang terbaik untuk memulakan penyusuan bayi adalah selepas 1 jam bayi dilahirkan. Semasa anda berada di hospital, anda perlu berada di sisi bayi sepanjang masa. Mendampingi bayi setiap ketika dapat membantu menjayakan penyusuan anda.
Berbincanglah dengan pakar Obstetrik dan Pediatrik untuk memastikan ubat-ubat yang anda ambil tidak membahayakan bayi anda melalui penyusuan. Walau bagaimanapun, kebanyakan ubat tidak memudaratkan, oleh itu anda tidak perlu merasa risau.

Antara susu ibu dengan susu formula Adakah saiz penting?

Saiz payu dara bukanlah suatu masalah. Payu dara yang lebih besar bermakna ia mengandungi lebih banyak tisu lemak. Ini tiada kaitannya dengan penghasilan susu. Jarang sekali seseorang wanita itu dilahirkan dengan kekurangan tisu glandular sehingga boleh menjejaskan usahanya untuk menyusukan bayi secukupnya. (Sebenarnya, wanita yang mempunyai payu dara kecil lebih mudah mengaturkan kedudukannya ketika menyusu berbanding mereka yang mempunyai payu dara yang besar).
Apabila bayi anda dilahirkan, ia pasti akan mendapat susu yang cukup, jika:
  • Ia disusukan sekurang-kurangnya 10 -12 kali sehari.
  • Menjelang hari ketiga, bayi akan membuang air kecil sekurang-kurangnya 3 - 4 kali sehari dan air besar sekurang-kurangnya 2-3 kali sehari. Pada hari ke 6 bayi akan membuang air kecil 6 - 8 kali sehari dan air besar 2-3 kali sehari.
  • Air kencing berwarna kuning pucat dan bukannya berwarna kuning pekat atau berwarna oren.
  • Bayi akan kehilangan tidak lebih 10% dari berat badannya semasa lahir, dan memperolehinya semula semasa melakukan pemeriksaan di minggu kedua . Selepas itu berat badannya akan stabil.
  • Bayi akan tidur lena selepas menyusu dan kelihatan sihat dan ceria.
Jangan merasa risau semasa menyusukan bayi. Bayangkan yang anda sedang menyusukan bayi anda dan susu anda mengalir dengan begitu baik. Semuanya akan berjalan dengan baik.

Bekalan susu yang tidak mencukupi, adakah ia kerana keturunan?

Saya sedang mengandung anak yang pertama dan akan bersalin pada bila-bila masa sahaja. Bagi saya penyusuan susu ibu sangat penting. Saya akan menyusu bayi saya sepenuhnya dengan susu sendiri dan melakukan yang terbaik untuknya. Dulu ibu saya mencuba penyusuan dengan susunya sendiri tetapi beliau tidak mempunyai susu. Apakah saya akan mewarisi masalah yang sama seperti itu?
Adalah sesuatu yang merisaukan jika kita mendengar cerita yang demikian rupa. Kebanyakan wanita merasa terganggu dan risau beberapa lama bila mengenangkan kisah dan cerita ibu mereka yang menghadapi masalah bersalin dan penyusuan. Sebenarnya, kemungkinan anda menghadapi masalah fizikal yang akan menghalang dari menyusukan sendiri bayi anda amatlah kecil.
Jarang sekali berlaku seseorang ibu itu kekurangan susu secara semula jadinya. Kebanyakan masalah yang wujud di awal-awal minggu penyusuan adalah sementara. Ini akan pulih apabila aktiviti penyusuan menjadi stabil. Bekalan susu yang tidak mencukupi selalunya boleh disebabkan oleh banyak faktor.
Anda harus menggalakkan bayi anda menyusu dengan lebih kerap dalam keadaan yang selesa. Bekalan susu akan berkurangan apabila bayi kurang disusukan, menghadkan masa penyusuan dan kedudukan penyusuan yang tidak betul. Bayi yang baru lahir perlu menyusu sekurang-kurangnya 10 -12 kali sehari. Tetapi kebanyakan bayi akan menyusu lebih dari itu. Semakin kerap bayi menyusu semakin cepat payu dara anda "kosong" dan semakin banyaklah susu dihasilkan. Kebanyakan bayi akan mengambil masa selama 30-40 minit untuk setiap penyusuan. Biarkan bayi anda yang mengawal penyusuan sehingga ia sendiri melepaskan puting susu itu setelah puas dan bersedia.
Beberapa faktor dari ibu yang menyebabkan susu tidak mencukupi ialah seperti merokok, megambil kafein berlebihan (mengambil lebih dari 5 cawan kopi sehari), penggunaan ubat penenang, antihistamina atau pil perancang keluarga. Pendarahan atau turun darah yang serius selepas bersalin, anemia dan beguk atau hipotiroidisme (tiroid yang kurang aktif), di samping pembedahan payu dara juga boleh menyebabkan kekurangan bekalan susu. Jarang sekali terjadi di mana seseorang wanita itu kekurangan tisu glandular.
Bayi juga boleh menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan susu. Masalah kesihatan bayi yang menyebabkan keadaan ini perlu dikenal pasti oleh doktor. Mungkin bayi menghadapi masalah menghisap (biasanya ia bersifat sementara). Bayi yang dilahirkan dengan frenulum (lipatan membran mukus di bawah lidah) yang pendek atau keras akan menghadapi kesukaran menyusu sehinggalah keadaan ini diperbetulkan atau kadangkala ia pulih dengan sendirinya.

Menyusu untuk sebulan sahaja, apakah ini memadai?

Anda tidak perlu merasa terikat untuk menyusukan bayi anda sendiri bagi suatu tempoh yang lama, jika itu yang menggusarkan anda. Sebanyak manapun susu ibu yang bayi anda perolehi akan memberi faedah kepadanya. Tetapkan satu matlamat, contohnya anda ingin menyusu untuk 6 minggu pertama sahaja (jika ini boleh membuatkan anda berasa selesa). Lakukan segala yang mungkin dalam tempoh itu untuk memastikan bayi anda memulakan kehidupannya sebaik mungkin.
Untuk 6 minggu yang pertama itu, elak dari menggunakan susu botol atau puting tiruan. Luangkanlah lebih banyak masa untuk menyusukan dan mendampingi bayi anda. Anda mungkin terkejut kerana selepas 6 minggu tersebut anda masih belum bersedia untuk berpisah dan menghentikan penyusuan susu badan. Nikmati hubungan yang terjalin pada hari ini dan jangan terlalu memikirkan hari-hari seterusnya.
Hubungilah anggota kesihatan atau kumpulan sokongan ibu yang mungkin dapat membantu anda.

Bolehkan anda menyusukan bayi dengan puting yang tenggelam?
Puting yang tenggelam bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Sebenarnya terdapat antara 28-35% dari wanita yang hamil kali pertama mempunyai puting yang tidak timbul dengan sempurna (Hyttch & Baird, 1958; Blaikeley, 1953; Waller, 1946). Kehamilan merupakan tempoh penting perkembangan dan tumbesaran payu dara. Bakal-bakal ibu yang dahulunya memiliki puting tenggelam atau mendatar kini mungkin mendapati puting mereka mula menonjol apabila menghampiri masa untuk bersalin. Penonjolan dan pembentukan puting akan bertambah baik setiap kali kehamilan dan setiap kali anda melalui pengalaman menyusu anak.
Apabila anda berada dalam trimester terakhir kehamilan, anda bolehlah memeriksa puting anda. Tekan areola di bahagian pangkal puting. Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, tekankannya ke dalam dada. Jika puting kekal pada kedudukan yang sama dan tidak terjojol, ini bermakna anda memiliki puting yang leper. Tetapi jika tekanan ini menyebabkan puting anda masuk ke dalam, ini menandakan puting anda tenggelam. Sebenarnya , kes puting yang benar-benar tenggelam jarang berlaku.
Anda boleh terus menyusukan bayi dengan puting yang tenggelam. Tidak semestinya anda mesti mempunyai puting yang terjojol baru boleh berjaya menyusukan anak. Bentuk puting ketika rehat tidak menunjukkan setakat mana ia akan menonjol ketika bayi menghisapnya.
Kedudukan yang betul ketika menyusu adalah sangat penting. Sentuhkan bibir bayi dengan puting anda berkali-kali dan tunggu sehingga bayi membuka mulutnya dengan luas seperti menguap. Tarik sedikit payu dara anda ke belakang dengan memastikan ibu jari dan jari-jari anda jauh dari areola apabila mulut bayi mula melekap pada payu dara anda. Ini memberi ruang kepada bayi memasukkan seberapa banyak yang boleh bahagian areola ke dalam mulutnya. Apabila bayi diletakkan pada kedudukan yang betul, tisu payu dara dapat dihisap dengan sempurna seolah-olah seperti puting.
Menyusu bayi dengan puting yang tenggelam kadangkala merupakan satu cabaran. Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai puting yang tenggelam atau leper lebih mudah terkeliru apabila menghisap. Keadaan ini berlaku apabila ia diberi puting tiruan di awal-awal minggu penyusuannya. Kenapa ini terjadi, penjelasannya adalah mudah. Meletakkan bayi ke payu dara anda selepas sahaja ia dilahirkan adalah sangat penting untuk 'mengingatkannya' bentuk puting ibunya. Bayi akan menjadi biasa dengan bentuk puting dan payu dara anda. Dalam kebanyakan kes, bayi boleh diletakkan terus ke atas dada anda. Biarkan ia menjilat dan menghisap puting anda.
Bayi yang dibiarkan berbuat demikian sejurus selepas dilahirkan lebih berjaya menghisap susu dari ibunya, walaupun ibu tersebut mempunyai puting susu yang tidak terjojol. Elakkan dari mengguna puting tiruan sehingga penyusuan dengan susu ibu telah benar-benar mantap. Jika terpaksa memberi tambahan susu formula, picagari atau cawan boleh digunakan dari awal sementara berusaha membina hubungan penyusuan antara anda dan bayi. Pastikan anda mendapat bantuan dan sokongan dari pihak hospital atau kaunselor penyusuan berkaitan dengan teknik dan kedudukan semasa menyusu sejak dari mula lagi. Dapatkan latihan yang cukup sehingga anda benar-benar mahir tentang teknik penyusuan ini ketika payu dara anda masih lembut dan mudah dipegang. Amatlah berguna jika anda dapat memerah atau mengepam susu untuk beberapa minit sebelum memasukkan puting anda ke dalam mulut bayi. Ini akan membantu pengaliran susu yang baik. Memerah susu ke bibir bayi juga dapat menarik minat bayi anda.

Pemakanan semasa hamil

Satu ketika dahulu dipercayai bahawa ibu yang menyusukan bayi memerlukan diet yang berkhasiat dan berkalori tinggi berbanding dengan wanita yang tidak menyusu bayi. Maka disyorkan setiap wanita yang menyusukan bayi perlu mengambil 700-1000 kalori tambahan setiap hari. Hari ini pendapat itu tidak lagi diterima pakai. Seseorang ibu yang menyusu hanya perlu mengambil 200-500 kalori sahaja setiap hari. Buku Panduan Diet Malaysia menganggarkan 2,550 kalori sehari bagi ibu yang menyusu anak sudah mencukupi.
Selain dari tenaga, ibu yang menyusu juga memerlukan lebih protein, kalsium, asid folik dan vitamin terutama vitamin A, C dan B. Seseorang ibu yang menyusu bayi perlu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat. Pilihlah makanan dari bahan semula jadi dan dalam keadaan yang baik dan pastikan sekurang-kurangnya 5 sajian buah-buahan dan sayur-sayuran diambil setiap hari. Kurangkan pengambilan makanan yang telah diproses atau makanan dalam tin. Adalah penting bagi ibu-ibu baru mempunyai snek yang berkhasiat dan boleh terus dimakan kerana mereka sering letih dan tidak berupaya untuk menyediakan sesuatu khusus buat mereka. Makanan yang baik untuk sajian harian adalah juga baik dimakan ketika menyusu bayi.
Untuk mendapatkan semua zat-zat makanan atau nutrien yang diperlukan, di bawah ini disenaraikan semua makanan yang perlu diambil setiap hari:

Jenis makanan
Sajian/sehari


Makanan untuk tenaga
1 saiz sajian: 1 cawan nasi/bihun/mi 2 keping roti, 6 keping biskut 2 biji kentang
6


Makanan protein
1 saiz sajian: 1 ketul ayam, 1ekor ikan kembung bersaiz sederhana, 2 keping tempe/tauhu 2 biji telur, 1 cawan kekacang kering/lentil
5


Susu dan hasil tenusu
1 saiz sajian: 1 gelas susu = cawan dadih 1 keping keju
2-3


Sayur-sayuran
1 saiz sajian: = cawan sayur yang dimasak
2-3 atau lebih


Buah-buahan
1 saiz sajian: 1 biji pisang/oren = biji buah jambu batu, 1 keping betik/nenas/tembikai
2-3 atau lebih

Cecair Air, jus
Sekurang-kurangnya 8 gelas

Bagaimana diet yang diambil mempengaruhi kualiti susu anda?

Kualiti pemakanan yang terkandung di dalam susu ibu pada amnya sentiasa mencukupi, dan jarang dipengaruhi oleh keadaan ibu, walaupun kalori dan pengambilan pemakanan ibu tidak mencukupi. Jawatankuasa Taraf Pemakanan Semasa Mengandung dan Laktasi dari The Institute of Medicine, " tersangat kagum dengan bukti bahawa ibu masih mampu menghasilkan susu yang mencukupi dari segi jumlah dan kualitinya untuk menyokong dan menggalakkan tumbesaran dan kesihatan bayi, walaupun bekalan nutrien dan tenaga untuk ibu itu terhad." (1991)

Ini tidak bermakna kita tidak perlu menggalakkan ibu-ibu mengambil makanan mengikut selera mereka dan mendapatkan sekurang-kurangnya 1800 kalori sehari. Pada dasarnya, seseorang ibu yang menyusu bayi perlu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat. Sebenarnya, kebanyakan ibu telah lama bersedia sejak mereka hamil lagi untuk menyusukan bayi. Kita perlu ingat bahawa seseorang ibu itu tidak perlu terlalu sempurna pemakanannya semata-mata untuk membolehkannya menyusu.

Adakah anda perlu pantang mengambil makanan tertentu?

Kebanyakan ibu tidak perlu mengubah makanan berkhasiat yang mereka ambil ketika menyusu. Makanan yang 'baik' dan 'tidak baik' ketika menyusukan bayi selalunya lebih berasaskan kepada sesuatu budaya daripada keperluan fisiologi itu sendiri. Contohnya, di kalangan kaum Red Indian bawang putih dikatakan sangat baik untuk penyusuan tetapi di kalangan ibu-ibu berbangsa Amerika menganggap bawang putih tidak baik dan akan mengelak dari mengambilnya ketika menyusu.

Sensitif terhadap makanan

Kadangkala bayi yang menyusui susu ibu bertindak balas terhadap sesetengah makanan yang dimakan oleh ibunya. Anda boleh perhatikan bahawa selepas mengambil makanan yang berempah atau makanan yang bergas, bayi anda akan menangis atau meragam. Oleh kerana bayi yang mengalami kolik atau sakit dalam perut juga menunjukkan gejala yang sama, cara yang terbaik untuk membezakannya ialah dengan memerhatikan berapa lama gejala itu berlanjutan. Jika ia disebabkan oleh makanan, gejala selalunya lebih singkat, berakhir dalam masa kurang dari 24 jam. Tetapi jika ia disebabkan oleh kolik ia akan berlaku setiap hari dan selalunya berlanjutan sehingga beberapa hari atau beberapa minggu.
Jika bayi anda mendapat gejala tersebut setiap kali anda mengambil makanan tertentu, lebih baik sahaja anda berhenti mengambil makanan tersebut. Jika anda mempunyai sejarah keluarga menghidapi alahan, termasuklah asma dan penyakit kulit tertentu, anda perlulah elakkan dari mengambil hasil tenusu ataupun makanan lain yang menimbulkan alahan ketika anda menyusu bayi. Anda haruslah berbincang dengan petugas kesihatan jika ingin menukar diet anda, supaya mereka dapat memastikan semua keperluan nutrien anda diperolehi. Sesetengah bayi tersangat sensitif terhadap makanan tertentu di dalam diet ibunya. Anda tidak harus mengambil tindakan sewenang-wenangnya untuk menghadkan diet anda melainkan ada sebab-sebab tertentu yang mengganggu bayi anda. Jika bayi anda terlalu sensitif terhadap penyusuan yang anda berikan, ini mungkin disebabkan protein asing yang terdapat dalam susu ibu. Dalam kes ini, cuba elakkan dari makanan tertentu yang anda syaki bertanggung jawab terhadap masalah ini, sekurang-kurangnya selama seminggu (jangan lupa untuk membaca semua label makanan). Jika anda dapati tiada sebarang perubahan, anda boleh mengambil semula makanan itu. Cuba ambil makanan lain sekiranya ia merupakan penyebabnya. Mungkin berguna jika anda menyimpan rekod makanan yang anda ambil dan tindak balas bayi terhadap makanan ini. Ia akan membantu menyelesaikan masalah ini.

Hasil tenusu: Dalam beberapa kes kecil, ada ketikanya bayi mendapat alahan akibat susu lembu yang terdapat dalam diet anda. Gejala yang mungkin timbul untuk beberapa minit atau beberapa jam selepas menyusu ialah cirit-birit, ruam, meragam dan kembung.
Untuk mengetahui sama ada bayi anda mengalami alahan atau pun tidak terhadap hasilan ini, hentikan semua produk tenusu dalam diet anda untuk selama 2 minggu. Kemudian ambilnya semula satu persatu setiap hari ke dalam diet anda. Saksikan tindak balas bayi terhadapa bahan-bahan ini. Anda pasti mendapat jawapannya.

Makanan lain yang diambil yang boleh menyebabkan bayi mengalami alahan
termasuklah telur, kacang tanah dan kekacang, gandum, soya, jagung, tomato, bawang, kubis, rempah, makanan laut, buah oren dan jusnya serta coklat.
Kopi: Cuba elakkan kafein atau kurangkan pengambilannya ketika anda menyusukan bayi. Kafein akan terkumpul dalam sistem tubuh bayi kerana bukan mudah untuk menyingkirkannya.. Jika meminum secawan kopi di waktu pagi tidaklah begitu memudaratkan bayi anda, tetapi terlalu banyak kafein boleh menimbulkan masalah seperti sukar tidur, gementar, kerengsaan dan kurang menyusu. Anda bolehlah mengambil kopi tanpa-kafein dan juga teh. Elak dari mengambil minuman kola serta lain-lain minuman berkarbonat yang mengandungi kafein tambahan.

Alkohol: Elak dari mengambil alkohol semasa menyusu anak anda kerana ia boleh menyerap ke dalam susu ibu. Jika anda memilih untuk mengambil alkohol, minumlah selepas anda menyusukan bayi.

Merokok: Jangan merokok semasa sedang menyusu bayi atau merokok berdekatan dengan anak-anak anda. Perokok pasif di kalangan kanak-kanak adalah merbahaya, terutamanya di kalangan bayi. Ia boleh meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

Pada dasarnya, ambillah makanan yang terbaik dan berkhasiat setiap hari ketika anda menyusukan bayi.

Ubat-ubatan
Kebanyakan ubat adalah selamat diambil semasa menyusu bayi, tetapi terdapat beberapa jenis ubat yang boleh memudaratkan bayi. Untuk mendapatkan kepastian ini, beritahu doktor atau pakar pediatrik yang anda menyusu bayi dengan susu badan. Dapatkan pengesahan untuk semua jenis ubat termasuklah ubat yang dibeli sendiri. Anda boleh mengambil ubat anda sebaik sahaja selesai menyusukan bayi. Sesetengah pil perancang keluarga juga boleh mendatangkan kesan terhadap penghasilan susu, tetapi kesan yang dialami berbeza dari seorang wanita ke seorang yang lain. Ia juga bergantung kepada jenis pil yang diambil. Berbincanglah dengan doktor anda.

Teknik penyusuan susu ibu

Permulaan awal

Menyusu bayi perlu dimulakan secepat mungkin sejurus selepas bayi dilahirkan. Kajian telah menunjukkan bahawa dalam masa 2 jam selepas kelahiran, bayi berada dalam keadaan peka yang disertai dengan refleks hisapan yang kuat. Pada masa inilah bayi tidak sabar untuk berada dalam pelukan anda di samping menggesel dan menjilat puting anda. Dia mungkin ingin terus menyusu dan akan melekap pada payu dara anda untuk merasakan kenikmatan susu yang pertama (kolostrum).
Penyusuan awal ini akan meninggalkan kesan yang mendalam dan ia membantu ke arah satu permulaan yang baik. Memulakan penyusuan lebih awal memanglah baik tetapi dalam keadaan tertentu ianya tidak dapat dilakukan dan anda tidak boleh memaksa bayi anda untuk menghisap susu anda. Jika ini terjadi anda tidak perlu merasa kecewa. Terdapat ramai ibu yang lewat memulakan penyusuan susu badan tetapi akhirnya berjaya menjalin hubungan yang baik dengan bayi mereka. Teruskan memberi bayi anda peluang untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran baru ini.

Penyusuan pertama selepas kelahiran
Selepas sahaja bersalin, letakkan bayi anda ke dada atau di atas perut anda, bersentuhan kulit ke kulit. Bayi sebenarnya sangat peka terhadap persekitarannya selepas dilahirkan, dan mereka juga selalunya lapar. Penyusuan pertamanya boleh diberi dalam masa 30 minit hingga sejam selepas dilahirkan. Susu manusia yang awal memberi perlindungan yang baik terhadap sebarang jangkitan. Susu ibu dapat membekalkan zat-zat makanan atau nutrien kepada bayi untuk mencegah paras gula yang rendah di dalam darah. Rasa awal susu yang dihisap itu akan merangsang bayi untuk menyusu dengan lebih baik pada masa akan datang.
Jika anda bersalin dengan normal, anda boleh menyusukan bayi di katil atau di atas kerusi dengan cara seperti berikut:
  • Berbaring mengiring dengan bayi menghadap anda.
  • Dukung bayi dengan kepalanya berada di atas lengan anda. Sokong dengan lembut belakang badan dan punggung bayi.
  • Ketika menyusukan bayi dengan cara ini, pastikan keseluruhan tubuh bayi menghala ke badan anda dan bukan ke arah siling.
Jika anda melahirkan anak melalui pembedahan Caesarean, anda bolehlah menyusu seperti berikut:
  • Duduk dan letakkan satu atau dua biji bantal tambahan untuk menyokong bayi dan melindungi luka pembedahan anda.
  • Berbaring mengiring dengan bayi menghadap anda.
  • Gunakan teknik kedudukan mengiring dan pastikan anda sentiasa dalam keadaan selesa.
Jangan merasa malu untuk mendapatkan pertolongan semasa mula menyusu kali pertama. Anda perlu melalui beberapa sesi penyusuan sebelum dapat menguasai kemahiran ini.

Tinggal sebilik dengan bayi anda (Rooming-in)

Apabila bayi diletakkan bersama-sama anda dalam satu bilik selepas bersalin, ia memberikan banyak masa dan peluang untuk anda berlatih menyusukannya. Amalan tinggal bersama bayi ini telah terbukti boleh menyumbang kepada kejayaan sesuatu penyusuan. Jika anda menghadapi kesukaran, berjumpalah penasihat penyusuan atau jururawat. Semasa berada di hospital, anda perlu memaklumkan jururawat atau bidan supaya tidak memberi makanan lain (susu formula atau air) atau puting sedut kepada bayi anda. Susu formula dan air tidak perlu diberi. Ia boleh mengelirukan bayi kerana bayi sedang belajar menyusu susu ibunya.

Menyusu bayi lebih awal dan kerap

Bayi anda perlu disusukan sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 3 jam. Menyusu bayi lebih awal dan kerap dapat menbantu melembutkan payu dara dan memudahkannya untuk dipegang. Ia juga membantu mengurang atau mencegah payu dara dari membengkak. Awasi tanda-tanda bayi lapar seperti bunyi menghisap atau pergerakan bibir, pergerakan mata yang cepat ketika tidur dan perubahan riak wajahnya. Cuba ramalkan rasa lapar bayi anda melalui tanda-tanda ini. Menyusu berpandukan isyarat ini membantu menghasilkan lebih banyak susu. Lebih kerap bayi anda menetek lebih banyak susu akan dihasilkan.

Bagaimana saya perlu menjaga payu dara saya semasa menyusukan bayi?

Menjelang hari ketiga atau keempat penyusuan , susu anda akan bertukar dari kolostrum kepada susu yang kelihatan seperti susu skim. Payu dara akan bertukar dari lembut kepada pejal. Jika puting meleleh, gunakan pad atau sapu tangan yang bersih, masukkan ke dalam coli untuk menyerap susu yang meleleh. Pastikan ia ditukar selalu. Jangan menggunakan pad plastik kerana ia menghalang peredaran udara di sekeliling puting. Semasa menyusu, lapkan puting. Ini akan mengurangkan rasa gatal dan kerengsaan. Anda boleh perah sedikit kolostrum dan sapukannya ke puting atau gunakan susu atau lanolin untuk mengelaknya dari kekeringan.

Melekap

Menyentuh puting anda ke tengah bibir bayi akan merangsang bayi untuk membuka mulutnya dengan luas. Apabila keadaan ini berlaku, cepat-cepat tarik bayi terus ke puting dan areola anda. Ingat bahawa apabila bayi telah melekap pada payu dara anda, putting dan sebahagian besar kawasan areola sepatutnya berada di dalam mulutnya. Bibir dan gusi bayi seharusnya berada di sekeliling areola dan bukannya di atas puting. Ini menunjukkan betapa pentingnya bayi membuka mulut dengan luas. Anda boleh membantu bayi untuk melekap bibirnya ke payu dara anda. Letakkan jari penunjuk di bawah payu dara dan ibu jari di bahagian atas (di belakang areola). Pastikan kedudukan bayi anda betul-betul di paras payu dara anda. Pastikan juga jari anda jauh dari areola supaya ia tidak menghalang bayi melekapkan mulutnya ke payu dara. Kali pertama bayi menghisap anda akan terasa tarikan/sentakan pada payu dara. Jika anda terasa sakit, seperti dicubit kemungkinan bayi salah melekap. Masukkan jari anda di penjuru mulut bayi untuk membuka lekapan, betulkan kedudukan bayi dan cuba sekali lagi. Ia mungkin memerlukan beberapa percubaan. Jika puting anda tidak luka atau bermasalah, penyusuan tidak sepatutnya menyakitkan. Jika sakit, pelekapan mulut bayi mungkin tidak betul dan anda perlu memperbetulkannya semula.
Kedudukan lekapan adalah sangat penting kerana ia:
  • Memudahkan pengaliran susu
  • Mengelak puting dari membengkak.
  • Memuaskan kehendak bayi anda.
  • Merangsang bekalan susu yang banyak.
  • Menolong mencegah payu dara dari terlalu penuh (menjadi bengkak).
Bayi menggunakan bibir, gusi dan lidah untuk menghisap susu keluar dari payu dara. Proses ini dikenali sebagai penyusuan. Dengan hanya menghisap putting, susu tidak akan keluar sebaliknya ia boleh menyebabkan puting terasa sakit. Kebanyakan bayi akan menghisap dengan aktif sekali jika mereka lapar dan berada pada kedudukan yang betul.
Untuk beberapa minggu pertama selepas kelahiran sehingga mencapai umur 4 bulan, bayi yang diberi susu ibu tidak sepatutnya diberikan makanan lain (air, air gula, susu formula dan sebagainya) melainkan atas sebab-sebab perubatan. Bayi yang disusukan secara berkala dan dengan berkesan akan mendapat segala bekalan zat-zat makanan atau nutrien dan air dari susu ibunya. Sesetengah pengkaji mendakwa jika botol dan puting sedut diberikan kepada bayi ia boleh menyebabkan bayi kekeliruan puting dan ini mengganggu proses penyusuan susu ibu.

Apakah yang dimaksudkan dengan proses pengaliran susu (let-down )?
Refleks pengaliran susu berlaku setiap kali anda menyusu bayi. Kali pertama anda menyusukan bayi, refleks ini akan mengambil masa beberapa minit. Selepas itu refleks ini akan berlaku lebih cepat, selalunya dalam masa beberapa saat sahaja. Tanda-tanda pengaliran susu adalah berbeza-beza dari seorang ibu ke ibu yang lain. Kadangkala, apabila bayi anda mula menghisap, anda mungkin akan terasa seperti tercucuk, berdenyut atau kesakitan dalam payu dara. Ataupun susu mula menitis dari payu dara yang sebelah lagi. Perasaan ini dan lelehan susu yang berlaku merupakan refleks pengaliran susu. Ini bermakna badan sedang memudahkan bayi untuk menghisap susu. Anda mungkin terasa kekejangan yang kuat dalam rahim ketika susu mengalir turun. Hormon oksitosin yang merangsang penghasilan susu akan menyebabkan otot-otot pada rahim mengecut. Proses penyusuan membantu mengembalikan rahim ke saiz asalnya. Kekejangan ini merupakan satu proses yang normal dan ia sebenarnya menandakan satu penyusuan yang berjaya. Kekejangan ini akan hilang dalam masa seminggu atau lebih.
Untuk membantu proses pengaliran susu berjalan lancar, ikuti petua-petua ini:
  • Duduk di kerusi dengan selesa di samping menyokong tangan dan belakang anda dengan baik. Kebanyakan ibu mendapati kerusi berayun sangat sesuai.
  • Pastikan kedudukan bayi selaras dengan payu dara anda. Kedudukan yang betul merupakan satu dari faktor-faktor penting yang menentukan kejayaan sesuatu penyusuan itu.
  • Mendengar muzik yang menenangkan fikiran dan meminum minuman yang berkhasiat menjadikan penyusuan sesuatu yang menyeronokkan.
  • Jangan merokok, meminum alkohol atau mengambil dadah terlarang. Kesemua ini mengandungi bahan yang boleh mengganggu pengaliran susu dan mempengaruhi kandungan susu ibu. Ianya memudaratkan anda dan bayi.
  • Pakai coli untuk penyusuan dan pakaian yang memudahkan penyusuan. Coli untuk menyusu boleh dibuka di bahagian depan untuk mendedahkan puting dan sebahagian dari payu dara anda.
  • Jika keadaan di rumah terlalu sibuk, cari satu ruang atau tempat yang sunyi terlebih dahulu sebelum memulakan penyusuan supaya anda tidak diganggu. Kadangkala hanya dengan memikirkan bayi anda akan memulakan pengaliran susu.
Kesakitan semasa pengaliran susu

Selalunya, di peringkat permulaan penyusuan sesetengah ibu mengalami pengaliran susu atau refleks pancutan susu (milk ejection reflex - MER) atau refleks pengaliran susu yang kuat. Oleh kerana kebanyakan ibu mengalami refleks ini semasa penyusuan, ia boleh menjadikan penyusuan sebagai sesuatu yang tidak selesa.
Refleks pengaliran susu yang kuat ini berlaku disebab oleh bekalan susu yang terlalu banyak. Jika bekalan yang banyak ini menimbulkan masalah penyusuan yang lain seperti bayi enggan menyusu, atau tersedak dan tercekik semasa menyusu, anda boleh berusaha mengurangkan bekalan susu selaras dengan keperluan bayi. Contohnya, seperti menyusukan bayi dengan sebelah payu dara sahaja bagi setiap kali penyusuan dan memerah susu dari payu dara yang sebelah lagi, akan dapat mengurangkan masalah ini.
Susui bayi lebih kerap. Apabila payu dara telah sarat dengan susu, ibu mungkin mengalami lebih banyak refleks pengaliran susu yang menyakitkan. Gunakan penuam panas dan lembap untuk meredakan kesakitan. Ini boleh dilakukan sebelum atau semasa penyusuan.

Seriawan kelenjar duktus boleh menjadi salah satu dari punca kesakitan yang mendalam pada payu dara. Walau bagaimanapun anda tidak boleh menentukan masalah ini secara sendirian. Jika langkah-langkah yang disebutkan di atas tidak melegakan kesakitan, anda perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat. Adalah penting untuk mengetahui penyebab kesakitan pada payu dara ini dan ia perlu diatasi. Penyusuan seharusnya memberikan anda keselesaan.

Kedudukan Penyusuan
Langkah berikut ini menerangkan cara memegang bayi dengan betul supaya ia dapat menghisap susu dengan banyak dan mengelakkan puting dari kesakitan.

1.    Betulkan kedudukan anda. Adalah lebih mudah jika anda dapat duduk untuk memulakan penyusuan. Duduklah di atas katil, kerusi menyandar yang selesa atau kerusi goyang. Gunakan bantal untuk mengampu belakang anda, di bawah siku dan di atas peha untuk menyokong bayi. Lapikkan dengan bantal atau kusyen yang lembut untuk meninggikan sedikit lutut anda. Anda perlu bertenang dan relaks tanpa menegangkan mana-mana otot.
2.    Betulkan kedudukan bayi. Bayi seharusnya baring mengiring menghala ke badan anda. Kepalanya hendaklah diletak dalam pelukan anda manakala belakangnya diampu dengan lengan dan pegang punggung atau paha atasnya dengan tangan anda. Kepala, bahu dan pinggang hendaklah diluruskan. Bayi harus dipegang di paras payu dara untuk membolehkan anda membongkok sedikit dan tidak menyukarkan bayi untuk mencapai puting anda. Meletakkan bantal di atas riba anda akan mengurangkan masalah ini.
3.    Hulurkan payu dara anda kepada bayi. Genggam payu dara anda dengan tangan dan diampu oleh jari-jari anda di bahagian bawahnya dan ibu jari di atas. Ibu jari dan jari telunjuk anda sepatutnya membentuk seperti huruf 'C'. Pastikan jari-jari anda jauh dari areola.
4.    Galakkan bayi anda melekap dengan betul. Sentuhkan puting ke bibir bayi beberapa kali. Jika bayi berpaling ke arah lain, cuitkan pipinya yang dekat dengan anda perlahan-lahan. Bila ia memandang ke arah anda, sentuhkan bibirnya semula dengan puting sambil bercakap-cakap dan menggalakkan bayi membuka mulutnya. Apabila mulutnya terbuka, cepat-cepat ajukan puting ke tengah mulutnya dan rapatkan badannya ke badan anda. Adalah penting untuk anda menarik bayi rapat kepada anda dan bukan sebaliknya. Anda perlu melakukan percubaan ini beberapa kali sehinggalah reaksi bayi bersesuaian dengan tindakan anda untuk memastikan proses pelekapan ini berjalan lancar. Jika bayi gagal menyusu dengan betul, anda mungkin terpaksa berhenti dan memujuknya sebelum mencuba sekali lagi.
5.    Teknik hisapan yang berkesan. Untuk menghisap dengan berkesan, bayi perlu memasukkan sebahagian besar dari areola dan puting ke dalam mulutnya. Rerongga susu yang perlu diperah/ditekan untuk mengeluarkan susu terletak di bawah areola. Gusi bayi sepatutnya melepasi puting sejauh satu inci ke bahagian areola. Pastikan puting terletak di tengah-tengah mulut bayi dan di atas lidahnya. Bayi hendaklah dirapatkan ke badan anda sehingga hujung hidungnya menyentuh payu dara anda. Jika hidungnya terhalang oleh payu dara untuk bernafas, perbetulkannya dengan mengangkat payu dara anda sedikit atau menarik bayi lebih rapat ke badan anda.
6.    Kesakitan puting. Jika bayi melekap dan menghisap dengan betul anda tidak sepatutnya terasa sakit. Jika bayi tidak menghisap dengan betul atau anda terasa sakit, penyusuan perlu dihentikan sekejap. Kemudian mulakannya semula. Masukkan jari anda ke dalam mulut bayi (di sisi yang menekan payu dara) untuk menghentikan hisapan atau menarik pipi bayi dengan lembut. Jangan biarkan bayi terus menghisap dengan cara yang salah kerana ini akan menyebabkan puting anda membengkak dan corak hisapan yang tidak betul ini menjadi sukar untuk diperbetulkan kemudian nanti. Jika puting masih terus membengkak dan sakit, kemungkinan ia disebabkan oleh hal-hal berikut:
o      Jangan biarkan bayi menghisap puting anda, ini bukan cara yang betul. Pastikan bayi membuka mulutnya dengan luas supaya puting dapat masuk ke dalam mulutnya. Apabila bayi mencengkam terlalu kuat ketika hendak mula menghisap, tekan rahang bawahnya dengan jari sambil menolak turun dagunya. Minta bayi anda membuka mulutnya dengan suara yang jelas dan tegas.
o      Jika puting anda masih sakit, tarikkan bibir bawah bayi semasa ia masih menghisap dan periksa sama ada lidahnya terletak di antara bibir bawah dengan payu dara anda ataupun tidak. Jika tidak dapat melihat lidahnya, bayi mungkin sedang menghisapnya bersama-sama puting anda. Lepaskan bayi dari penyusuan dan mulakan prosedur ini semula. Pastikan mulut bayi dibuka dengan luas dan lidahnya berada di bawah puting ketika melekap.
7.    Cara menghisap dengan berkesan. Kebanyakan bayi mengetahui cara menghisap dengan betul sejak mereka dilahirkan. Sesetengah dari mereka yang lain mengambil masa untuk belajar dan memerlukan panduan tertentu seperti yang dinyatakan di atas. Ia memerlukan keselesaan dan kesabaran yang tinggi. Tetapi apabila bayi mula menghisap dengan penuh bertenaga, anda akan terasa puas apabila merenungnya. Ketika ini, otot-otot di mukanya akan bekerja lebih keras sehingga telinganya kelihatan bergerak-gerak. Anda dapat melihat kekuatan otot rahangnya dan dapat mendengar bunyi ia menelan. Apabila bayi telah kenyang, ia kembali tenang, dan hisapan diperlahankan, dan hanya menelan sedikit demi sedikit. Dia kelihatan sedang dilamun kenikmatan berada dalam pangkuan ibunya.

Isu-isu penyusuan yang lain

Masa
Biarkan bayi anda menghabiskan hisapan dari sebelah payu dara dahulu sebelum menukarkan kepada payu dara sebelah lagi. Ini memberinya peluang untuk menikmati susu akhir yang penting untuk tumbesaran. Biarkan penyusuan itu berakhir apabila bayi melepaskan payu dara anda dengan tenang dan puas. Pastikan anda menyusukan bayi sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali dalam masa 24 jam. Susu ibu mudah dihadam dan bukanlah mustahil jika bayi anda terasa lapar semula dalam masa satu atau satu setengah jam kemudian.

Berapa banyakkah yang dikatakan cukup?
Kebanyakan ibu merasa risau sama ada bayinya telah menyusu dengan cukup ataupun tidak. Terdapat beberapa cara untuk mengetahuinya. Salah satu daripadanya ialah jumlah lampin yang basah dalam sehari.
Pastikan ia telah membasahi sekurang-kurangnya 6 lampin sehari dengan air kencingnya berwarna kuning pucat, bermula sekitar hari ke 3 atau ke 4 selepas kelahiran. Bayi sepatutnya membuang air besar beberapa kali dalam sehari (mungkin sekali selepas setiap penyusuan untuk beberapa minggu yang pertama). Pada minggu pertama selepas kelahiran, bayi anda sekurang-kurangnya membuang air besar sebanyak 2 kali sehari. Kemudian meningkat kepada sekurang-kurangnya 5 kali sehari apabila berusia 1- 4 minggu. Semakin meningkat usia bayi semakin kurang ia membuang air besar dan kadangkala tidak membuang langsung untuk beberapa hari. Najis bayi yang menyusu dengan susu ibu kurang berbau berbanding bayi yang menyusu dengan susu formula.
Pola atau corak penyusuan bayi juga sangat penting sebagi tanda ia menetek dengan secukupnya. Bayi yang baru lahir akan menyusu setiap 11/2 hingga 3 jam dalam masa 24 jam. Jika bayi tidur dengan nyenyak untuk selama lebih 4 jam dalam dua minggu yang pertama selepas kelahiran, kejutkannya untuk disusui. Adalah penting bayi melekap dengan betul semasa menyusu (Lihat Melekap). Dengarkan bunyi tegukan untuk mengetahui yang bayi anda menelan susu dan bukan hanya menghisap. Juga perhatikan gerakan rahang yang perlahan dan mantap semasa menghisap susu.
Bayi anda sepatutnya memperolehi berat badan yang stabil selepas minggu pertama kelahiran. Pada minggu pertama, sesetengah bayi kehilangan berat badan beberapa auns tetapi memperolehinya semula di akhir minggu kedua. Doktor atau jururawat akan mengambil ukuran berat badan bayi anda setiap kali lawatan. Ingat bahawa bayi anda mungkin lebih kerap menyusu semasa pertumbuhannya memuncak.
Tanda-tanda bayi mendapat susu yang mencukupi:
  • Sekurang-kurangnya 6 lampin basah setiap hari dan membuang air besar yang cair berwarna kekuningan 2- 5 kali sehari. Ini bergantung kepada umur bayi.
  • Pastikan najis bayi tidak berwarna putih atau kelabu.
  • Peningkatan berat badannya stabil selepas minggu pertama kelahiran.
  • Air kencingnya berwarna kuning pucat dan bukannya berwarna kuning pekat atau jingga.
  • Tidurnya nyenyak, bayi kelihatan cergas ketika bangun tidur.
Adakah saya perlu memberi air?
Kebanyakan bayi yang menyusu susu ibu tidak memerlukan air, vitamin, atau ferum selama 6 bulan yang pertama. Susu ibu menyediakan semua cecair dan zat-zat makanan yang diperlukan oleh bayi untuk terus sihat. Apabila umur bayi mencapai 6 bulan, anda boleh mula memperkenalkan makanan yang kaya dengan ferum.
The American Academy of Pediatrics dan The American Academy of Pediatric Dentistry telah mengesyorkan, bayi yang menyusu susu ibu (mahupun bayi yang menyusu dengan susu botol) tidak perlu diberi florida tambahan untuk 6 bulan pertamanya. Selepas berumur 6 bulan, berjumpalah pakar pediatrik untuk mengetahui sama ada anda perlu memberinya florida tambahan. Jika bayi anda tidak boleh atau enggan menyusu atau anda menghadapi masalah menyusukan bayi, adalah penting berjumpa doktor atau pakar pediatrik secepat mungkin. Keengganan menyusu mungkin disebabkan penyakit yang memerlukan perhatian segera.


Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyusukan bayi?
Sesetengah bayi hanya menyusu selama 10 minit dari setiap payu dara, manakala yang lainnya lebih lama. Sesetengah bayi masih menghisap walaupun mereka kelihatan seperti tertidur. Jika bayi anda tertidur ketika menyusu, atau anda perlu menamatkan penyusuan sebelum bayi anda berhenti, leraikannya dengan memasukkan jari ke dalam mulut bayi ketika bibirnya masih melekap pada payu dara anda. Gunakan jari untuk meleraikan mulut bayi. Jangan sekali-kali menarik puting anda tanpa meleraikan hisapannya.

Menyusu dengan kedua-dua payu dara
Apabila anda menyusu, selang-selikan antara kedua-dua payu dara anda (anda boleh meletakkan tanda pada coli untuk mengingatkan sebelah mana yang telah dihisap sebelum ini). Sememangnya anda ingin kedua-dua payu dara dihisap sama rata, tetapi sesetengah bayi mungkin hanya lebih suka kepada satu payu dara sahaja dan menetek lebih lama di sebelah itu. Jika ini terjadi, payu dara anda akan menyesuaikan keadaan mengikut keperluan bayi. Ingat bahawa bayi andalah yang mengawal berapa banyak susu yang perlu dihasilkan. Oleh yang demikian, adalah penting anda menyusukan bayi dengan kedua-dua belah payu dara supaya kedua-duanya mendapat rangsangan yang cukup untuk menghasilkan susu. Lama-kelamaan anda akan mengetahui pola penyusuan bayi anda yang sebenar. Setiap bayi mempunyai caranya yang tersendiri. Sesetengahnya cepat dan sesetengahnya lambat. Memahami corak atau pola pengambilan susunya akan memudahkan anda menentukan sama ada bayi anda lapar, kenyang, kekerapannya menyusu dan berapa lama masa yang diperlukan untuk setiap penyusuan.

Muntah susu, tersedu dan lain-lain reaksi
Muntah susu atau jeluak merupakan tindak balas biasa yang terjadi di kalangan bayi semasa atau selepas menyusu. Sesetengahnya lebih mudah muntah berbanding dengan yang lain. Anda tidak perlu risau apabila bayi anda muntah. Tidak seperti bayi yang meminum susu formula, muntah yang dikeluarkan oleh bayi yang menyusu dengan susu ibu tidak begitu berbau dan tidak melekat pada kain atau linen. Jika bayi anda selalu muntah susu, lakukan perkara berikut:
  • Cuba menyusu dalam keadaan yang tenteram, tenang dan menyeronokkan.
  • Elakkan dari sebarang gangguan, bunyi bising, cahaya yang terlalu terang dan gangguan-gangguan lain.
  • Sendawakan bayi sekurang-kurangnya 2 kali semasa menyusu.
  • Pegang bayi anda tinggi sedikit semasa menyusu.
  • Pegang dan tegakkan selepas menyusu.
  • Jangan menggomol atau bermain dengan lasak bersama bayi selepas sahaja menyusukannya.
Jika bayi anda muntah berulang kali, terutama jika muntahnya keluar memancut-mancut, dapatkan nasihat doktor secepat mungkin. Kebanyakan bayi akan tersedu dari masa ke semasa. Jika ini berlaku, anda masih boleh meneruskan penyusuan kerana sedu akan berhenti dengan sendirinya.

Hubungan penyusuan dan penyesuaian selepas bersalin
Peringkat awal selepas bersalin atau postpartum merupakan saat berlakunya perubahan besar. Anda mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk merasa selesa menjaga dan menyusukan bayi anda sendiri. Mengurangkan aktiviti-aktiviti luar di sepanjang tempoh yang mencabar ini membolehkan anda mendapat rehat yang diperlukan. Anda dan bayi akan dapat menjalinkan hubungan penyusuan yang mesra. Berbekalkan persediaan, maklumat serta sokongan yang baik, kebanyakan ibu yang menyusukan bayi akan dapat menghadapi saat-saat selepas bersalin dengan baik. Jika tidak, dapatkan bantuan dari jururawat atau badan-badan sokongan sosial yang ada di tempat anda.

Bekalan susu yang terlalu banyak
Sesetengah ibu menghasilkan susu terlalu banyak dan berlebihan. Bekalan yang berlebihan boleh menimbulkan banyak masalah sampingan ketika menyusu. Bayi mungkin agak cerewet semasa menyusu, melepaskan hisapan terutama semasa susu memancut keluar. Kadangkala mereka tersedak dan tercekik ketika menyusu. Mereka kelihatan lapar setiap masa. Sebenarnya sesetengah ibu yang banyak susunya masih menyangka mereka tidak mempunyai susu yang mencukupi! Bayi mereka kelihatan seperti tidak gemar menyusu. Mereka akan melepaskan hisapan dan menangis sebaik sahaja mula disusui. Ibu pula akan merasa tersinggung. Bayi akan menyusu sekejap sahaja, mudah kembung dan muntah. Lazimnya bayi-bayi ini adalah sihat, berat badan meningkat dengan baik, purata 4-8 auns seminggu. Najis mereka mungkin cair dan berwarna hijau. Ibu yang berlebihan susu selalunya mengalami lelehan susu yang banyak di antara masa penyusuan. Saluran susunya mudah tersumbat dan terdedah kepada jangkitan kuman.
Antara perkara yang disyorkan bagi ibu yang mempunyai susu berlebihan ialah menyusukan bayi dengan sebelah payu dara untuk jangkamasa 3 - 4 jam. Dalam tempoh itu jika bayi anda ingin menyusu beberapa kali berikan payu dara yang sama. Selepas 3 - 4 jam, tukar ke payu dara sebelah lagi dan terus mengulangi corak ini. Untuk dua hari yang pertama, anda perlu memerah sedikit susu dari payu dara yang tidak dihisap dalam sela masa berkenaan supaya merasa lebih selesa. Dengan cara demikian ia membolehkan bayi mendapat susu akhir yang kaya dengan zat serta dapat memberi kepuasan yang lebih lama. Ia juga boleh mengurangkan kembung dan ketidakselesaan yang dialami oleh bayi.
Mengekalkan kedudukan yang betul sepanjang penyusuan adalah mustahak. Ibu yang memiliki bekalan susu berlebihan kerap mengalami kecederaan puting disebabkan bayi melongsor turun setelah lama menyusu. Ini adalah salah satu cara bayi mengendalikan segala susu yang diterimanya. Susu akan dibiarkan sahaja mengalir keluar dari mulutnya. Jika bayi anda melongsor, perlahan-lahan leraikan hisapannya dengan memasukkan jari di antara gusinya. Kemudian biarkan bayi melekapkan semula keseluruhan mulutnya ke tisu payu dara anda.
Jika bayi anda muntah dan tercekik semasa menyusu, cuba bersandar untuk menyusukannya. Anda boleh lepaskan bayi dari payu dara anda ketika susu memancut keluar, ini boleh berlaku beberapa kali setiap kali penyusuan. Tadah susu di dalam lampin atau di dalam cawan. Tenteramkan bayi sebelum membawanya semula ke payu dara anda.Adalah penting bagi anda memantau jumlah air kencing bayi apabila membuat perubahan corak penyusuan. (Sila lihat Tanda-Tanda bayi mendapat susu yang mencukupi).






Kenapa mesti susu ibu?



Haa...tgk tu betapa berharganya susu ibu. Penuh dgn khasiat yg terrrrbaik utk baby kita.Tu ar ciptaan TUHAN memang tak dpt ditandingi. Subhanallah....
Menurut World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), susu ibu bukan sahaja penting untuk kesihatan, tetapi juga untuk meningkatkan perkembangan otak. Susu ibu mengandungi segala nutrien yang penting untuk perkembangan otak:
  •  Lemak – Susu ibu mempunyai kandungan asid lemak poli tak tepu yang lebih tinggi, khususnya DHA (asid dokosaheksanoik) dan AA (asid arakidonik), yang memainkan peranan penting dalam perkembangan otak (seperti sinaptogenesis, fungsi membran, dan mungkin juga pemielinan).
  • Kolesterol – Susu ibu juga mempunyai kandungan kolesterol yang lebih tinggi. Kolesterol penting untuk memudahkan pemielinan sistem saraf pusat, yang mempunyai kandungan lipid dan kolesterol tinggi.
  • Taurina – Taurina adalah asid amino yang banyak terdapat dalam susu ibu dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tisu otak. Taurina juga penting untuk sintesis dan pelepasan pengutus neuro otak. Oleh sebab badan bayi sendiri tidak dapat menghasilkan taurina, adalah penting untuk memastikan si manja mendapat bekalan yang secukupnya daripada makanan yang diberikan.

Lebih Banyak Manfaat daripada Susu Ibu
  •  Susu ibu melindungi bayi daripada penyakit yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan, dan menjejaskan pembelajaran dan pendengaran.
  • Susu ibu memastikan interaksi lebih kerap dan mendedahkan bayi kepada bahasa, tingkah laku sosial positif, dan rangsangan penting.
  • Susu ibu membolehkan perkembangan visual dan aktiviti visual lebih baik, menambah kesediaan untuk membaca dan belajar






Otak Lebih Pintar Dengan Susu Ibu

Fahami bagaimana susu ibu membantu perkembangan otak.
Oleh Professor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan.


Otak kita merangkumi banyak bahagian yang menjalankan fungsi tertentu seperti menghubungkan penglihatan, perasaan, bahasa, dan pergerakan. Dalam setiap bahagian otak, terdapat berjuta-juta neuron (sel saraf), yang menghantar mesej kepada satu sama lain melalui sinaps. Hubungan ini membolehkan pelbagai bahagian berkomunikasi dan berfungsi bersama-sama.
 “Makanan Otak Terbaik,”
http://www.mypositiveparenting.org/bm/cn_breastfeeding.html





Bagaimana Otak Berfungsi?

Hasil penyelidikan telah menunjukkan pelbagai manfaat susu ibu ke atas perkembangan otak. Jadual di bawah adalah antara yang penting:

 
Sumber
Hasil Penyelidikan
Rodgers, 1978
Kanak-kanak yang diberi susu ibu lebih pintar, lebih pandai membaca dan mengira, dan lebih bijak bercakap.
Horwood & Fergusson, 1998

IQ lebih tinggi, prestasi lebih tinggi dalam ujian biasa, diberi permarkahan tinggi oleh guru, pencapaian lebih tinggi di sekolah.
Mortensen et al., 2002

Purata markah IQ sebanyak 104 jika menyusu ibu melebihi 9 bulan berbanding IQ 99.4 bagi bayi yang menyusu ibu kurang daripada 1 bulan.

 
Kajian ke atas pemberian susu ibu dan kepintaran kanak-kanak




Bagaimana Rupa Bentuk Susu Ibu Sebenarnya?

Kalau susu formula atau susu tin tu, senanglah nak tau rupanya kan.. Bergantunglah kepada berapa banyak susu formula yang anda bancuh, jenis susu yang anda gunakan..
Kalau susu ibu ni, macamana pula?
Saya ingat lagi masa awal-awal saya menyusukan Afiah, masa tu saya pun tak tahu, betul ke ada keluar susu ni? Yalah, orang kata ada leaking, saya takde leaking..
Kesimpulannya, saya pun tak pernah tengok rupa susu ibu..
Oleh kerana masa tu tak pasti ada susu ke tak, saya cubalah pam sikit.. Pam sampai nampak berair-air sikit keluar dari puting tu, saya pun berenti.. Warnanya cair jer.. Sedikit macam air gula.. Macam air, tapi keruh.. Tapi tidaklah sehingga putih macam air susu..
Lepas tu, saya dah tak kisah lagi dah dengan rupa susu ibu ni..
Tapi bila saya dah mula mengepam susu, saya rasa pelik juga.. Kenapa susu saya warna putih? Sebabnya saya tengok gambar kawan-kawan yang mengepam susu, susu mereka warna agak kekuningan..
Kemudian lagi, bila baca-baca posting dalam kumpulan-kumpulan yang membincangkan tentang penyusuan susu ibu ni, lagi lah saya keliru dan mungkin sedikit risau..
Sebabnya, bila baca ramai yang bercerita tentang susu pekat.. Berapa pekat susu tu tak pula saya dapat bayangkan.. Tetapi lebih kurangnya apa yang disampaikan membuatkan saya difahamkan bahawa susu lebih pekat, ianya lebih baik, anak lebih cepat kenyang..
Berapa pekat sepatutnya susu ibu ni? Macam susu pekat manis ke?
Haaa.. Mesti ramai yang nak tahu juga kan..
Dan bila sebut tentang pekat susu ibu ni, macam-macamlah milk booster yang keluar.. Dari semurah-murah jenis, sehinggalah ke semahal-mahalnya.. Macam-macam orang promote..
Ada yang makan shaklee, fenugreek, halba (ermm halba ngan fenugreek ni sama kan?), alfalfa, soya, susu, kurma, chocodates, coklat.. Sehinggalah yang pelik-pelik sikit pun ada seperti durian, sardin…
Bagi saya pulak memadai dengan kurma.. Mesti makan kalau nak ada susu.. Kalau makan, takdelah susu mencurah-curah keluar, tapi adalah lebih sedikit untuk di pam dan disimpan buat bekalan kecemasan kelak.. Tak lupa juga air masak yang banyak… Sekarnag ni saya minum antara 4 – 6 liter air masak sehari..
Sebut-sebut ni, tak termasuk juga dengan kepeningan saya yang timbul bila ibu-ibu lain dapat mengepam sehingga 10-15 oz sekali pam.. Sedangkan saya dapat dalam 2-3 oz jer sekali..
Sehinggalah, seseorang bangkit memberi penjelasan yang nak saya kongsikan dengan anda di sini..




Dan bila saya baca penerangan ini, barulah lega rasa hati saya.. Tak ada apa yang perlu saya risaukan..
Cuma, bila difikir-fikir semula, mungkin mereka lupa nak jelaskan beza keadaan mereka dengan saya.. Iaitu Afiah baru sebulan umurnya.. Takkanlah sekali minum sampai 10-15 oz kan?
Bayi mereka mungkin dah setahun lebih.. Sebab tu konsep supply and demand tu penting… Bayi mereka minum lebih banyak susu, maka mereka pun dapatlah mengepam susu lebih banyak..
Seperkara lagi, saya mengepam selepas Afiah menyusu, maknanya sebahagian daripada susu telah diminum oleh Afiah.. Mereka pula mengepam di pejabat, maknanya hasil pengepaman adalah keseluruhan.. Betul tak?
Sebenarnya apa yang diperlukan oleh setiap bayi tu berbeza.. Afiah tak sama dengan bayi anda..
Jumlah susu yang Afiah minum tak sama dengan jumlah susu yang bayi anda minum.. Kandungan dalam susu yang diperlukan oleh Afiah juga tak sama dengan kandungan dalam susu yang bayi anda perlukan..
Betul tak?
Apapun keadaan rupa bentuk paras susu ibu yang kita hasilkan sebenarnya telah ditetapkan oleh Allah melalui badan kita untuk memenuhi keperluan bayi kita.. Pekat ke, cair ke, banyak ke , sikit ke.. Yang pentingnya susu tetap keluar kan?
Yang perlu dirisaukan adalah sekiranya susu langsung tak keluar sedangkan bayi anda masih lagi memerlukan penyusuan.. Haaaa.. Itulah yang perlu kita risaukan..
Dan yang pentingnya adalah pastikan pemakanan kita sihat dan mencukupi untuk menghasilkan susu ibu yang terbaik untuk bayi kita..
Setuju?

credit : cikgu azleen

Bagaimana Mengawal Pengeluaran Susu Ibu?

Dua tiga hari lepas, waktu bersembang-sembang dengan rakan sekerja, rakan saya terkejut bila mengetahui bahawa saya masih lagi menyusukan Afiah secara eksklusif walapun Afiah sudah berusia 4 bulan.
Rakan saya memberitahu yang beliau hanya dapat menyusukan anaknya tidak sampai 2 bulan.. Ini kerana menurut beliau susunya sedikit dan bayi tidak kenyang..
Soalan saya yang pertama apabila mendengar keluhan beliau adalah:
Masa anda perasan susu tidak banyak tu, memang dah campur FM ya?
Dan memang beliau akuinya yang beliau telahpun mula campur FM sewaktu dalam pantang lagi..
Hakikatnya, susu ibu masih lagi berteraskan konsep supply and demand.
Lebih tinggi permintaan, lebih banyaklah susu dihasilkan..
Payudara adalah kilang membuat susu, bukan stor atau gudang menyimpan susu.. Jadi, kalau perlukan lebih banyak susu, perlu berikan lebih stimulation kepada payudara..
Saya menjelaskan dengan ringkas tentang konsep penghasilan susu ibu kepada rakan tadi..
Apabila kita mendapati susu ibu tidak mencukupi, ramai yang mengambil keputusan untuk menambahkan dengan susu formula..
Tindakan ini adalah amat tidak bijak kerana ianya tidak akan menyebabkan lebih banyak susu dihasilkan.. Sebaliknya, sebaik saja kita mula menambahkan susu formula dalam pemakanan bayi, susu badan akan semakin sikit..
Semakin banyak susu formula digunakan, susu badan semakin sikit..
Kecuali, jika sewaktu susu formula diberikan untuk feeding bayi, kita turut memerah susu badan..
Jadi, rakan saya tadi, memberitahu yang beliau memang memerah sewaktu tidak bersama bayi, tetapi susu masih tidak mencukupi..
Satu perkara yang kita sering lupa adalah keseimbangan..
Jika bayi minum susu formula (atau EBM) sebanyak 12 oz sehari, kita juga mesti memastikan yang kita berjaya memerah sekurang-kurangnya antara 12 ke 15 oz sehari..
Lebih tidak mengapa, tetapi kurang dari jumlah yang diminum oleh bayi, sama sekali tidak boleh..
Bukannya sekadar mengira mengikut jumlah feeding bayi.. Contohnya, bayi minum 2 kali (atau 2 botol) sepanjang kita bekerja, maka kita pun memerah cuma 2 kali sahaja..
Kalau hasil perahan sebanyak dua kali itu menyamai dengan jumlah yang diminum oleh bayi, tidak mengapa..
Yang menjadi masalahnya adalah apabila jumlah yang diperah tidak menyamai jumlah yang diminum oleh bayi..
Contohnya, bayi minum 12 oz sehari tetapi kita cuma berjaya memerah 6 oz sehari..
Yang pentingnya adalah setiap hari kita mesti memerah jumlah yang sama dengan bayi minum..
Walaupun bayi mungkin menghabiskan 12 oz dalam 4 kali feeding saja, dan kita pula mampu memerah 2 oz setiap kali sesi memerah.. Jika kita cuma memerah 4 kali sahaja (mengikut jumlah feeding bayi), kita cuma mendapat 4 x 2 = 8 oz..
Maknanya kita akan kekurangan 4 oz lagi..
Tidak boleh tidak, kita perlu menambahkan jumlah sesi perahan untuk mendapatkan 4 oz yang masih berkurangan itu..
Saya pun pernah juga melalui saat-saat susu tidak mencukupi ini..
Tetapi kuncinya adalah mengelakkan dari mengambil jumlah susu yang tidak mencukupi ini daripada stok EBM beku.. Mengambil dari stok EBM beku samalah kesannya seperti menggantikannya dengan susu formula..
Ini kerana badan anda menerima pesanan susu ibu yang sedikit, tetapi anak tidak menerima pesanan yang sama..
Keseimbangan antara supply dan demand telah hilang..
Apabila keseimbangan hilang, maka jumlah susu yang dihasilkan tidak lagi mencukupi untuk anak..
Semakin kita menggunakan sumber lain menampung jumlah susu yang kurang, maka semakin berkuranganlah susu yang dihasilkan..
Bagi saya, saya akan memastikan jumlah susu yang diperah setiap hari mencukupi atau lebih sedikit daripada apa yang akan saya bekalkan untuk Afiah pada keesokan harinya..
Sekiranya ia tidak cukup, saya akan menambahkan sesi memerah dengan melakukan tandem nursing (sebelah menyusu, sebelah memerah) sepanjang malam bagi mencukupkan jumlah susu untuk Afiah..
Hasilnya setakat ini memang susu akan sedikt lebih pada hari-hari yang berikutnya.. Mudahkan?

credit : cikgu azleen


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...